Semalam saya balik kerja juga agak lewat dari biasa. Dalam perjalanan balik saya dah bercadang untuk menjenguk emak pada malam hari. Kebetulan semalam En. Nazir dengan jayanya merajinkan diri untuk belajar memasak. Dia sempat sms saya di pejabat bahan-bahan untuk memasak. Balik ke rumah saya tengok ikan selar masak asam pedas dan sayur bayam dah siap dia atas dapur. Saya hanya menggoreng ayamas untuk menambah lauk yang ada. Tiba-tiba adik saya Anna call dan memberitahu emak saya sakit perut. Ayah pula ke KL atas urusan kerja. Saya dan En. Nazir bersiap-siap dan makan. Dalam pukul 8 lebih kami bertolak ke HSA.


Kami sampai dalam pukul 9. Orang ramai menunggu giliran dan giliran kami yang ke 1104. Nombor yang tertera di pintu bilik rawatan adalah 1093. Dengan sabarnya kami menunggu. Sejam berlalu nombor masih tak bergerak. Pelik juga. Kemana doktor? Pengsan ke kerana terlalu ramai pesakit? Dua jam berlalu nombor bergerak tapi masih dalam keadaan lambat yang teramat sangat. Dari riak wajah emak saya dapat bayangkan betapa terseksanya dia. Tapi dia masih bersabar. Ramai juga waris-waris pesakit yang naik angin. Saya juga tapi saya masih belum sampai ke tahap mengetuk pintu bilik doktor seperti yang dilakukan oleh seorang nyonya itu. Ada juga India mabuk yang jatuh motor bergaduh dengan petugas hospital. Kami yang mampu tengok gelagat manusia disekeliling sambil berdoa supaya emak selamat.




Kesian sangat emak saya. Lebih kurang pukul 11.30 baru tiba giliran dia. Adik saya yang menemani emak masuk berjumpa doktor. Setelah diperiksa doktor kata itu hanya sakit perut biasa. Saya pun tak tahu nak kata apa. Sebelum ini saya membuat follow up call di HSA untuk mengetahui bila masanya emak saya akan menjalani radioterapi. Tapi sehingga nak habis kredit saya nurse yang menjawab panggilan langsung tak memberikan jawapan yang pasti. Apa yang dia pesan "Kalau sakit datang aje ke bahagian kecemasan". Saya tahu saya tak mampu untuk menghantar emak saya ke hospital swasta dan saya hanya mengharapkan hospital kerajaan, tapi sekurang-kurangnya biarlah kerja dan perancangan yang dijalankan tu efficient. Kalau setakat datang ke bahagian kecemasan menunggu berjam-jam tapi dapat ubat hanya 10 biji pil tahan sakit rasanya tak berbaloi. Kesian betul emak saya. Bersabar sajalah yang mampu.



Walaupun agak kebengangan tapi ada sesuatu yang membuatkan saya tertawa malam semalam. Budak perempuan di hadapan kerusi saya ini telah di'perdajal' kan oleh seseorang. Saya nampak dibajunya ada label yang melekat. Saya terus mencuit En. Nazir dan sempat juga saya mengambil gambar tanpa pengetahuan dia mahupun adik dia atau ayah dia di sebelah.

Ini pandangan dekat. Oleh kerana hp saya murah maka gambar kuranglah kejelasannya. Apa yang tertulis di label itu???? hehehehe.

"SPECIMEN URINE CONTAINER"

Dengan perasaan yang ala-ala belas kasihan melihat baju budak ni ditampal label tu saya pun mencuit bahu adik nya. "Adik, ada orang tampal sticker tu kat baju kakak awak" Tanpa sebarang kata budak tu mencabut label itu dibajunya. Saya perasan yang adiknya tengok saya semacam. Mungkin dia ingat saya yang mengenakan kakak dia. Saya berbisik dengan En. Nazir. "Kalau akak yang tampal, akak tulis SAYA ORANG GILA. Untung akak nak bagitau sebelum lagi ramai orang gelakkan awak. Terima kasih pun tak cakap. Ape pun esok tengok lah blog akak" Tapi adik tu tak dengar pun rungutan saya tu. Yang jadi mangsa En. Nazir.

Sambil menunggu emak keluar dari bilik doktor, ada 4 orang Vietnamees yang membawa seorang kawannya yang nampaknya sakit perut. Salah seorang daripadanya bertanya nombor giliran kepada saya. Saya pun memberitahu apa yang patut. Apa yang bagusnya dia tak lupa mengucapkan "Terima Kasih" setelah mendapat maklumat yang diperlukan. Tengok tu, orang Vietnam pun pandai berbudi bahasa. Bukanlah saya ingin dihargai atau disanjung tinggi, tapi sekurang-kurang berbudi bahasalah sikit semasa kita. Ini tidak saya pula yang dipandang sinis. En. Nazir sempat mengejek saya. Dia kata saya dan awek Vietnam berbual dah macam adik-beradik. Kurang asam betul dia ni tau.

Dalam pukul 12 pagi baru kami bertolak balik ke rumah. Bayangkan, menunggu berjam-jam dapat ubat hanya 10 biji yang kemungkinan besar boleh habis dalam masa 3 hari. Dugaan..

post signature