Bahagian Pendidikan Guru

Panduan & Peraturan Menduduki Malaysian Teacher Selection Test (MTeST)

Friday, November 12, 2010


Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia
Malaysian Teacher Selection Test (MTeST)
Tahun 2010


A: PENGENALAN

MTeST merupakan singkatan bagi “Malaysian Teacher Selection Test” (Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia). Ujian ini digunakan sebagai saringan awal untuk calon yang memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) di institut Pendidikan Guru(IPG). Calon yang telah menduduki ujian dan mencapai tahap yang ditetapkan sahaja akan dipanggil temu duga.


B: KOMPONEN DAN TEMPOH MENJAWAB MTeST

Terdapat lima komponen dalam MTeST iaitu:

  1. Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK)
  2. Kuantitatif
  3. Bahasa Inggeris
  4. Analitikal
  5. Verbal (Bahasa Melayu)

Kelima-lima komponen ini dimuatkan dalam lima buah buku seperti berikut:

Buku A: INSAK
Buku B: Kuantitatif
Buku C: Bahasa Inggeris
Buku D: Analitikal
Buku E: Verbal

Tempoh keseluruhan ujian ialah selama 2 jam 30 minit.

Buku
Komponen
Jumlah Soalan
Masa (minit)
A
INSAK
135
30
B
Kuantitatif
30
30
C
Bahasa Inggeris
25
30
D
Analitikal
20
30
E
Verbal
25
30


C: TARIKH DAN TEMPAT MTeST DIADAKAN

Tarikh dan pusat ujian akan ditentukan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG).  Pemohon boleh memohon tempat ujian dalam e-permohonan. Walau bagaimanapun Bahagian Pendidikan Guru berhak menentukan tempat calon menduduki ujian.

D: SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MENDUDUKI MTeST

Calon yang memenuhi syarat iklan seperti berikut layak menduduki MTeST:

Syarat dan Kelayakan Asas

  • Warganegara Malaysia 
  • Calon hendaklah sihat fizikal dan mental.
  • Umur   tidak  melebihi  35  tahun  pada  31  Januari   2011   iaitu    lahir   pada   atau   selepas 31 Januari 1976.
  • Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam  (IPTA)  atau  Institusi  Pengajian  Tinggi  Swasta  (IPTS)   tempatan   atau  luar  negara.
  • Memiliki ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Pemohon perlu   merujuk laman sesawang JPA di alamat berikut:

  • Calon Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) hendaklah memiliki ijazah sama ada dalam bidang Pengajian  Islam  atau  Pengajian  Bahasa  Arab  atau  al-Quran  atau bidang  yang  berkaitan.
  • Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM atau SPM(V) serta lulus ujian lisan atau Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM.
  • Lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM atau SPM(V).
Calon yang layak dikehendaki mencetak tiket panggilan ujian daripada laman web sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) untuk menduduki MTeST.

E: BAYARAN UJIAN

Tiada bayaran dikenakan kepada calon yang menduduki MTeST.

F: PERATURAN MTeST

Calon yang layak untuk menduduki MTeST perlu mematuhi peraturan-peraturan berikut:

  • Calon diwajibkan membawa bersama tiket panggilan ujian yang dicetak  dan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang diiktiraf semasa ujian. 
  • Calon mesti mengguna pensel 2B untuk menjawab semua soalan dalam borang jawapan OMR yang disediakan.
  • Calon hendaklah berpakaian kemas dan sesuai dengan profesion perguruan ketika menghadiri ujian.
  • Calon hendaklah hadir 30 minit sebelum ujian bermula.
G: KEPUTUSAN MTeST

Maklumat calon yang berjaya untuk dipanggil temu duga akan disiarkan dalam laman web kementerian:


H: HURAIAN KOMPONEN MTeST

Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK)

Rasional

Calon perlu memiliki ciri-ciri sahsiah yang terpuji, positif serta kesediaan yang tinggi untuk memikul tanggungjawab sebagai guru. INSAK merupakan ujian bagi mengesan kesesuaian sahsiah calon untuk profesion keguruan. Komponen ujian ini  mengandungi gagasan  amanah, taat setia, ikhlas dan dedikasi, kawalan emosi, disiplin, kepekaan, kepimpinan, motivasi, kreatif dan inovatif serta kematangan fikiran. Komponen INSAK merupakan teras dalam MTeST dan calon perlu mencapai tahap yang ditetapkan.

Objektif

Komponen ujian ini bertujuan
  • memilih calon selaras dengan keperluan profesion keguruan;
  • mengenalpasti calon yang mempunyai sahsiah yang sesuai dalam bidang keguruan.
Format Soalan

Jumlah soalan:        135
Masa:                         30 minit
Bentuk soalan:         Soalan objektif dengan dua pilihan jawapan

Panduan Menjawab Soalan

Calon dikehendaki menjawab
  • secara spontan
  • purata 4 – 5 soalan dalam masa 1 minit

KUANTITATIF

Rasional

Kebolehan untuk memanipulasi data atau maklumat seperti membuat perbandingan antara dua kuantiti, mentafsir data dan menyelesai masalah dianggap sebagai kemahiran asas bagi semua bakal  guru. Keupayaan ini membolehkan mereka membuat keputusan dengan lebih tepat, cekap dan berwibawa.

Objektif

Komponen ini bertujuan mengenal pasti dan memilih calon guru yang boleh
  • mengaplikasi asas-asas matematik sekolah menengah (Aritmetik, Algebra dan Geometri) dalam pelbagai situasi;
  • membuat perbandingan antara dua kuantiti;
  • membaca, mentafsir dan membuat analisis carta, jadual, graf atau rajah;
  • menyelesaikan masalah yang melibatkan penggunaan data;
  • membuat ramalan berdasarkan maklumat kuantitatif dan;
  • membuat keputusan yang terbaik berdasarkan maklumat kuantitatif.
 Format

Komponen kuantitatif mengukur pengetahuan, kefahaman konsep dan kemahiran asas matematik.  Komponen ini menggunakan jenis soalan yang berbentuk

  • perbandingan kuantitatif                                               -           15 soalan
  • penyelesaian masalah &mentafsir data.                     -           15 soalan

Jumlah soalan:        30
Masa:                       30 minit
Bentuk soalan:         Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan

Panduan Menjawab Soalan

Calon diingatkan
  • tidak membazir masa membuat pengiraan yang terlalu tepat untuk membanding dua kuantiti;
  • mempertimbang semua jenis nombor sebelum membuat keputusan;
  • gambar rajah geometri tidak dilukis mengikut skala; 
  • perbandingan perlu dibuat berasaskan pengetahuan matematik 

BAHASA INGGERIS

Rasional:

Bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu yang digunakan di peringkat global. Oleh yang demikian amatlah penting bagi calon yang mengikuti kursus di institut perguruan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa tersebut untuk membolehkan mereka mendapat maklumat daripada pelbagai sumber.
 
Objektif

Komponen ini bertujuan memilih calon yang mampu:
  • mengesan dan memperbaiki kesilapan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai situasi;
  • menggunakan bahasa Inggeris yang gramatis dalam proses pengajaran dan pembelajaran
 Format

Terdapat tiga jenis item:
  • Error identification               -           10 soalan
  • Improving sentences          -           10 soalan
  • Improving paragraph           -             5 soalan

Jumlah soalan:        25
Masa:                         30 minit
Bentuk soalan:         Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan

Panduan Menjawab Soalan

Candidates are required to:

  • answer three types of item i.e. Error Identification, Improving Sentences and Improving Paragraph;
  • read the instructions for each item carefully;
  • choose/select the best answer from the four options given in each question

ANALITIKAL

Rasional

Keupayaan analitikal  merupakan daya taakulan seseorang yang menjadi asas pembentukan manusia yang saintifik, progresif dan  berkeyakinan terhadap kemampuan diri untuk membolehkannya berdaya suai, berwawasan dan berteknologi tinggi.

Objektif

Komponen ini bertujuan mengenal pasti dan memilih calon guru yang berpotensi serta mempunyai keupayaan analitikal dan logikal.

Format

Komponen ini mengandungi 2 bidang
  • Analitikal       -           16 soalan
  • Logikal           -             4 soalan

Jumlah soalan:        20
Masa:                         30 minit
Bentuk soalan:         Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan

Panduan Menjawab Soalan

Calon dingatkan bahawa soalan
  • analitikal adalah berdasarkan rangsangan atau penyataan dan diikuti dengan beberapa soalan. Membuat rajah, jadual atau membuat catatan ringkas akan membantu calon menjawab soalan jenis analitikal;
  • logikal adalah berdasarkan rangsangan atau penyataan dan diikuti dengan satu soalan.

VERBAL
Rasional

Kemahiran verbal  mencakupi aspek komunikasi yang menjadi asas penting bagi setiap individu untuk berinteraksi antara satu sama lain. Sehubungan itu, seseorang calon guru haruslah menguasai kosa kata yang sempurna serta dapat menghubungkaitkannya melalui komunikasi. Komponen ini akan menilai kemampuan calon menguasai kemahiran tersebut. Penguasaan verbal bertujuan menguji tahap kemahiran menghubung kait, menaakul dan menguasai kosa kata.

Objektif

Komponen ini bertujuan
  • mengenal pasti tahap taakulan verbal calon sebagai alat komunikasi;
  • mengesan kemampuan calon untuk bertindak secara matang, rasional dan profesional 
  • membolehkan calon mengaplikasikan kemahiran verbal secara berkesan.

Format

Komponen verbal mengandungi 3 bidang :
  • Analogi                                  –          15 soalan
  • Melengkapkan Ayat               –           5 soalan
  • Kefahaman                           –           5 soalan

Jumlah soalan:        25
Masa:                         30 minit
Bentuk soalan:         Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan.

Panduan Menjawab Soalan

Calon diingatkan bahawa soalan
  • analogi memfokuskan pasangan perkataan atau rangkai kata yang memperlihatkan unsur hubungan tertentu.
  • melengkapkan ayat terdiri daripada satu ayat majmuk dengan satu atau dua tempat kosong
  • kefahaman menguji sejauh mana calon memahami sesebuah petikan.

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


PERATURAN MENDUDUKI UJIAN MTeST 2010

TAHNIAH! Anda berjaya dipanggil untuk menduduki MTeST .Sebagai seorang bakal guru, anda mesti mempunyai perwatakan dan penampilan diri yang sesuai dengan profesion keguruan. Di sini digariskan peraturan yang perlu anda turuti sebagai persediaan untuk menduduki ujian tersebut di atas. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan anda dilarang daripada menduduki ujian. Sila ambil perhatian dan tindakan kepada perkara-perkara berikut :

1.       Sila bawa perkara-perkara berikut ke pusat ujian :
a.     Kad Pengenalan Diri/ MyKad
b.     Tiket Panggilan MTeST yang dicetak melalui internet.
c.     Pensel 2B dan pemadam

2.       Anda mestilah berpakaian kemas dan sesuai dengan etika profesion keguruan.

Penampilan dan pakaian lelaki:

a.         Berpakaian formal, sesuai dan kemas iaitu bertali leher, berseluar panjang dengan berbaju kemeja. Baju T dan seluar jeans tidak dibenarkan.
b.         Memakai kasut dan berstokin. Sandal atau selipar tidak dibenarkan.
c.         Berambut pendek, kemas dan tidak mencecah kolar baju. Fesyen rambut tidak keterlaluan dan tidak diwarnakan.

Penampilan dan pakaian perempuan:

a.       Berpakaian formal, sopan, kemas, sesuai dan tidak menjolok mata. Sandal atau selipar tidak dibenarkan.
b.       Baju mesti berlengan panjang dan tidak ketat sehingga menunjukkan bentuk tubuh badan. Baju T dan seluar jeans tidak dibenarkan.
c.       Solekan, aksesori dan pewangi adalah sederhana sahaja.
d.         Fesyen rambut tidak keterlaluan dan tidak diwarnakan.

3.       Bahan-bahan berikut  tidak  dibenarkan dibawa masuk atau keluar daripada bilik ujian
a.       Membawa masuk apa jua buku, kamus, telefon bimbit, alat perakam, kalkulator, kamera, kertas dan barang lain yang dilarang ke dalam bilik ujian.
b.       Membawa keluar buku soalan, kertas jawapan berkomputer atau kertas kira kasar pada bila-bila masa.

4.       Perbuatan berikut adalah dilarang semasa ujian:
a.       Meniru.
b.       Mengambil ujian untuk orang lain.
c.       Memberi atau menerima pertolongan semasa ujian.
d.       Membuat sebarang komunikasi (bercakap, berbisik, memberi isyarat dan sebagainya).
e.         Menyalin soalan sama ada secara menulis atau elektronik.

5.       Sila berada 30 minit sebelum masa ujian. Calon yang datang lewat lebih daripada 15 minit selepas masa ujian bermula tidak akan dibenar masuk menduduki ujian.


Dengan arahan

Pengarah
Bahagian Pendidikan Guru

November 2010

Sumber: MOE


©Hernee Nazir – Best of luck untuk semua calon2 MTest termasuklah diri saya sendiri. Semoga apa yang kita cita2kan tercapai satu hari nanti :) Lokasi exam saya di Sekolah Tun Fatimah (STF), JB.

You Might Also Like

2 Th♥ught (s)

  1. perghh...siap bg panduan dan peraturan lagi..hahha~ aku ingt blog nie blog pompuan..pink siot..heheheh~

    10 Fadhilat Coca Cola, Terbaek Dari Ladang !

    ReplyDelete
  2. anip>>anip oi...sy ppuan le..bukn llaki..blog hubby sy yg lg 1 tu..hehehe

    ReplyDelete

Thanks 4 ur comment.. peace!

Advertise with us!