Info Sharing

{Info}Kadar Zakat Fitrah Negeri-Negeri Malaysia 2012

Monday, July 23, 2012



Kadar Zakat Fitrah Negeri-Negeri Malaysia 2012
PANDUAN KADAR FITRAH BAGI NEGERI JOHOR

KEWAJIPAN MENUNAIKAN ZAKAT
Firman Allah..
” Dan dirikanlah kamu akan solat dan tunaikanlah zakat ”
Al-Baqarah, ayat 43
Firman Allah..
” Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya dapat membersihkan diri mereka daripada dosa dan menyucikan mereka dari akhlak yang buruk..”
At-Taubah, ayat 103
Hadith Rasulullah S.A.W” Bentenglah harta kamu dengan berzakat dan ubati pesakit-pesakit kamu dengan bersedekah serta hadapilah gelombang bala dengan menangis dan mengadu kepada Allah “ Riwayat Abu Daud, At-Tabarani dan Al-Baihaqi

Kewajipan mengeluarkan Zakat kepada pemerintah
Hadith Rasulullah S.A.W, diriwayatkan oleh Sa’id ibn Mansur dari Suhail r.a katanya :
” Telah berkumpul padaku nafkah, yang padanya ada zakat, yakni telah sampai nisab zakat, maka aku bertanya kepada Saad Ibn Umar, Abu Said Al-Khudry, Abu Hurairah, kataku: Apakah aku mengagihkannya sendiri atau aku berikan kepada penguasa? Semua mereka menyuruh aku memberikan kepada penguasa. Seorang pun tidak akan ada di antaranya yang menyuruh aku agih sendiri..”

Takrif Zakat Fitrah 
Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang.Zakat Fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadhan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Kefardhuan Zakat Fitrah 
Zakat Fitrah difardhukan pada tahun kedua hijriah iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajipan puasa Ramadhan.
Dalil- dalil yang menunjukkan kewajipan ini adalah sebagaimana ayat Al Quran dan hadith-hadith berikut :
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 43 :
Maksudnya : Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan rukuklah kamu bersama-sama orang yang rukuk.
Daripada Ibnu Umar : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memfardhukan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan dengan kadar satu gantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam.
Daripada Ibn Said berkata : Sesungguhnya kami mengeluarkan zakat fitrah pada masa kami bersama Rasulullah s.a.w satu gantang daripada makanan atau satu gantang daripada kurma atau satu gantang daripada gandum atau satu gantang daripada anggur kering atau satu gantang daripada susu masam. Dan aku mengeluarkan zakat ini sebagaimana aku mengeluarkannya sebelum ini.
Daripada Ibn Abbas berkata : Rasulullah s.a.w memfardhukan zakat fitrah supaya dengannya membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan … dan memberi makan kepada orang-orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat hari raya maka ia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka ia adalah sedeqah seperti sedeqah-sedeqah yang lain.

Hukum Zakat Fitrah 

Mengeluarkan Zakat Fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya.Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.
Fadhilat Mengeluarkan Zakat Fitrah
1. Menampung kekurangan semasa berpuasa.
Maksudnya : Berkata Waki’ bin al Jarah : Zakat Fitrah di dalam bulan Ramadhan seperti sujud sahwi di dalam solat, menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang.
2. Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya.
Maksudnya : Daripada Ibn Umar, bersabda Rasulullah s.a.w : Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).

Syarat- Syarat Wajib Zakat Fitrah
1. Islam dan merdeka.
2. Mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.
3. Wajib Zakat Fitrah ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Sehubungan itu tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang-orang berikut:
1. Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.
2. Anak yang lahir selepas terbenam akhir Ramadhan.
3. Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan.
4. Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah
1. Waktu Harus – iaitu bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
2. Waktu Wajib – iaitu selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
3. Waktu Afdhal – iaitu selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.
4. Waktu Makruh – iaitu selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.
5. Waktu Haram – iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah 
1. Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras.
2. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram).

3. Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Lafaz Akad Zakat Fitrah

1. Lafaz untuk diri sendiri:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
2. Lafaz untuk diri sendiri dan tanggungan:

Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
3. Lafaz bagi pihak:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili …… pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

Pembayaran Zakat Fitrah Di Negeri Johor 

1. Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah badan yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan pungutan dan agihan wang zakat dan fitrah di negeri Johor mengikut sebagaimana Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 1978 Bilangan 14 Seksyen 28 (1);
“Majlis hendaklah berkuasa memungut Zakat daripada sekalian orang yang diwajibkan oleh Hukum Syarak membayar Zakat di atas harta bendanya di dalam negeri ini yang diwajibkan oleh Hukum Syarak membayarnya”.
2. Bagi mempermudahkan masyarakat Islam di negeri Johor menunaikan Zakat Fitrah, Majlis Agama Islam Negeri Johor telah melantik amil-amil di setiap kariah dan kawasan bagi diberi kuasa dan tauliah memungut Zakat Fitrah sebagaimana Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 1978 Bilangan 14 Seksyen 28 (2);
“Kemudian daripada berjalannya kuatkuasa Enakmen ini tiada seorang pun boleh memungut, mengambil atau menerima bayaran Zakat atau Fitrah melainkan bagi pihak atau dengan kebenaran Majlis”.
3. Umat Islam di negeri Johor hendaklah membuat bayaran Zakat Fitrah kepada amil-amil yang diberi kuasa dan tauliah memungutnya di kawasan masing-masing. Bagi mereka yang membuat bayaran zakat kepada mereka yang tidak diberi kuasa dan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 1978 Bilangn 14 Seksyen 28 (3);
“Kemudian daripada berjalannya kuatkuasa Enakmen ini tiada seorang pun boleh membayar Zakat dan Fitrah melainkan kepada seorang yang telah dibenarkan oleh Majlis bagi memungut, mengambil atau menerimanya”.
4. Enakmen Kesalahan jenayah Syariah Tahun 1997 Seksyen 16 :
Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi:
a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah; atau
b) enggan membayar atau dengan senganja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

You Might Also Like

0 Th♥ught (s)

Thanks 4 ur comment.. peace!

Advertise with us!